MOHON SUMBANGAN

Saya merupakan pelajar lepasan Diploma Tahfiz Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sesi 2006-2009.

Sedang menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah dalam bidang Fiqh dan Usul di Universiti Mu'tah, Jordan.

Justeru, saya amat mengharap dan mengalu-alukan sebarang sumbangan dari individu, kelompok, organisasi samada berbentuk tajaan, zakat atau infaq.

Untuk berurusan, saya boleh dihubungi melalui email, blog dan telefon. Maklumat seperti yang tertera dibawah, pada Biodata atau klik -mohon sumbangan-.

December 06, 2009

Watak Direalitikan, Sejarah Akan Berulang

Seminggu yang lalu, saya bersama rakan-rakan menyambut Hari Raya Aidiladha  anjuran Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan, [KMKJ] di Nadi Mu'allimin, Mafraq.

Bertemu mata bersama teman-teman lama menjadi satu memori yang cukup manis untuk dikenang. Teringat wajah-wajah mereka sewaktu umur awal belasan tahun di MTDQ Repek hampir 10 tahun yang lalu. (Tiba-tiba terasa tua). Seronok. Terutamanya bila dengan teman cerminan diri itu, kita mampu untuk mengukur sejauh mana meningkatnya kualiti diri. Alhamdulillah.


Bersama sahabat MTDQ Repek


Sahabat dan adik-adik mantan DQ..Mabruk.

Sehari sebelumnya, saya dimaklumkan untuk menyampaikan ceramah ( baca : perkongsian ) sempena majlis tersebut dengan meletakkan falsafah Qurban sebagai garis panduan untuk menyampaikan isi. Secara peribadinya, saya cukup tidak selesa dengan jemputan tersebut, memandangkan adanya ustaz-ustaz yang lebih senior dan para doktor yang lebih intelek. Namun, atas gesaan dan rasa untuk berkongsi, saya gagahi juga untuk memenuhi harapan pihak penganjur.


Hanya perkongsian ringkas tentang pengorbanan

Tak banyak kronologi kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang saya ceritakan, bahkan saya lebih selesa untuk menyentuh cerita tentang 'sepupu' kita, cucu kepada Cicit Nabi Ibrahim, cucu Nabi Ishak dan anak-anak Nabi Ya'kub ( Bani Israel : Nabi Ya'kub digelarkan sebagai Israel ).

Hampir 70 peratus para rasul yang disebutkan di dalam Al-Quran berasal dari keturunan Nabi Ya'kub ( Israel ) dari anak kedua Nabi Ibrahin, iaitu Nabi Ishak. Namun, penutup kepada segala rasul, Nabi kita Muhammad s.a.w adalah dari keturunan Nabi Ismail a.s.

Sejarah ini cukup menarik untuk dikaji. Bahkan ianya cukup berkait rapat tentang KENAPA Yahudi berhijrah dari tanah luar Hijaz untuk menduduki Yathrib (Madinah).

Saya meneruskan perkongsian kepada bagaimana liciknya 'sepupu' kita merancang untuk menjadikan golongan mereka sebenar-benar realiti dan menepati ciri-ciri yang telah disebutkan di dalam Al-Quran. Yahudi yang tidak pernah redha dengan umat Islam sehingga umat Islam mengikuti telunjuk mereka.

Bagaimana dengan konspirasi ISTILAH yang menjadi racun jangka masa penjang untuk membunuh SENSITIVITI umat Islam...? Istila Riba, Zina, Palestin, Empayar, taklukan dan sebagainya.

Sedang umat Islam yang cukup ramai pada hari ini langsung tidak menepati ciri-ciri Muslim dan Mukmin yang telah digariskan dalam Al-Quran. Sedangkan ciri-ciri tersebutlah yang menentukan kualiti umat Islam untuk menjadi Khalifah di muka bumi.

Saya berusaha sedaya upaya untuk menayangkan gambaran besar tentang pengorbanan dan punca, kenapa pentingnya watak Ibrahim, Ismail, Sarah dan Hajar dilakonkan semula pada hari ini. Moga matlamat penganjur tercapai dan perkongsian saya memberi manfaat yang baik.

ASHABUL KAHFI

Usai dari Majlis Aidiladha tersebut, dengan sedikit perancangan dan ubahsuai tentatif, kami dibawa untuk menziarahi Gua yang dikatakan pernah diduduki oleh beberapa orang pemuda yang beriman pada zaman pemerintahan Rom Byzantine. Ashabul Kahfi adalah istilah yang cukup sinonim dengan mereka.


Pelakon filem lakonan semula 'Pemuda Kahfi' di Gua Kahfi...Ameen..

Sesampai di sana, saya menasihati diri untuk tidak menilai dan membandingkan secara geografi, apakah itu sebenarnya gua yang menjadi lagenda sehingga disebutkan di dalam Al-Quran. Bahkan lebih mementingkan subjek KENAPA cerita pemuda tersebut dicatatkan oleh Allah di dalam kitab-Nya. Pastinya ada MATLAMATdan TUJUAN yang jelas.

MEREALITIKAN WATAK

Bukanlah kisah yang dibawa di dalam Al-Quran itu hanya sekadar rakaman sejarah tentang ummat terdahulu tanpa ada sebarang pengajaran penting yang mampu kita ambil iktibar dan pengajaran. Bahkan, pastinya terselit disebalik kisah yang meliputi hampir 70 peratus Al-Quran itul mempunyai hikmah yang cukup besar untuk dikaji.

Cerita tentang pengorbanan Ibrahim dan Ismail, cerita tegasnya Pemuda Kahfi, kisah Ghulam dan Ashabul Ukhdud. Begitu juga tentang Rasul-Rasul, Imraah Al-Aziz, musuh-musuh Allah, Fir'aun, Qarun, Saamiriy, Tentera bergajah pastinya mempunyai 'ibrah yang cukup agung. Namun, ketemukah kita, KENAPA cerita itu dirakamkan?

Jawapannya adalah untuk dilakonkan semula tentang apa sahaja ciri-ciri dari watak-watak yang  baik, dan dikenali siapa sahaja yang bersifat dengan watak sifat musuh Allah.

Maka, sesiapa sahaja yang melakonkan watak tersebut, samada baik mahupun buruk, akan mengulangi sejraha kisah tersebut. Namun mungkin 'movie' tersebut datang dengan pendekatan yang sesuai dengan zaman ianya berlaku.

Perhatikan kisah Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayyubi, Nuruddin Az-Zenki, Hasan Al-Banna dan sebagainya.

Perhatikan juga kisah keruntuhan Abbasiyyah. Kisah penggulingan Sultan Abd Hamid, kisah Mustafa Kamal Ataturk, kisah T.E Lawrence ( Lawrence Arabia ). Kisah jatuhnya Melaka, bahkan kisah Memali dan mungkin juga krisis ( di Perak..?)

Watak direalitikan, Sejarah akan berulang.

Justeru, saya mengimpikan untuk melakonkan semula kisah-kisah agung tersebut. Kisah pemuda Kahfi, Anak muda Ismail dan Ayah tua Ibrahim, Kisah Salahuddin dan kisah-kisah agung yang lain...Pelakonnya adalah kita, skripnya adalah Al-Quran dan hadith...

Jom kita lakonkannya....

Read more...

November 24, 2009

Cerita Anak Khatulistiwa

P/S : Cerita ini cukup berkaitan dengan yang hidup, mahupun yang telah mati. Tujuan ianya diceritakan semula adalah untuk diambil iktibar oleh mereka yang masih hidup. Samada menghirup nafas  dari oksigen  bekalan Tropika di Khatulistiwa malahan yang menghirup udara di garisan ekstrim, Mediterranean. Iktibar yang baik adalah dengan membacanya dengan kaedah : Al-I'tibaar bi 'umuum al-lafz, laa bi khusuus al-Sabab...Terima Kasih.

Tepat jam 5.30 pagi. Jam surau berjenama Protime sumbangan ahli korporat berdecit-decit.

Azan berkumandang dari corong speaker TOA Model TC-650 M, buatan asli diimport dari negeri matahari terbit, Jepun. Jelas dan nyata. Menggerudi anak telinga yang masih nyenyak tidur. Ayam jantan Khatulistiwa pula sudah kering anak tengkuknya memanggil-manggil anak Adam ke masjid.

Namun, tentera syaitan yang berikrar dihadapan Allah, bahawa hidup dan matinya akan diwaqafkan untuk menyesatkan anak-anak Adam tidak akan lena. "Sejuk diluar sana, 27 darjah selsius...tidurlah.." Bisik anak murid Azazil.

Ya, Sejuuuuk...Lalu, selimut cotton cap Angsa yang berkerut di hujung kaki ditarik semula menutupi seluruh badan. Maka, nyenyaklah kembali. Bertepuk tangan dan 'bertakbirlah' tentera syaitan. Anak Adam ini tewas dengan bisikannya.

Anak Mediterranean

Tepat jam 11 malam, suhu sudah menjangkau 3 darjah selsius. Anak Mediterranean bersiap untuk melelapkan mata. Lampu dan pemanas udara dimatikan. Mata dipejam, ditekap pula dengan penutup mata kulit, mengelak dingin malam menggigit. Hampir sejam berhempas pulas dengan gigitan dingin malam, barulah anak matanya sudi dibawa beradu. Lantas nyenyaklah.

Pukul 3 pagi, azan subuh pula berkumandang. Mata baru dilelapkan tidak sampai 4 jam. Tiada ayam jantan yang menjadi loceng. Selimut setebal karpet dewan legar Hotel Sheraton di Zamzam Tower , Mekkah dicungkil-cungkil untuk diangkat. Selimut seberat 10 kilogram bukan sembarangan untuk dikalih ke tepi.

Suhu di luar rumah pula mencapai negatif. Pemanas air dinyalakan untuk bewuduk. Selesai wuduk, dilapkan tangan dan jari yang hampir kejang dan membeku itu.

Jaket tebal disarung ke badan sebagai benteng kelima selepas beberapa helai baju, singlet dan kemeja disarung. Stokin pula tiga lapis dikaki. Khuf yang dulu belajar sebagai teori bagi menghabiskan silibus Matan Ghayah, kini menjadi amali. Berkasut, membelah sunyi pagi yang bertemankan bayu sedingin freezer di pasar raya Tesco.

Wap air kelihatan setiap kali nafas terhembus keluar. Tangan disorokkan ke dalam jaket tebal, tengkuk disedut sependek mungkin dengan menjungkilkan bahu ke atas. Mengelak kesejukan. Kayuhan kaki terkadang melencong kerana gigilan semakin kuat lantaran kesejukan yang semakin menggigit.

Akhirnya tiba di Masjid. Sedikit haba dari 'aircond' memanaskan udara di ruang solat. Selesai solat, berfikir sepuluh kali untuk melangkahkan kaki semula ke rumah untuk bersiap sedia ke Universiti.

Pukul 7 pagi. Suhu masih terlalu sejuk. Yang seronok untuk dilayan adalah tidur dengan berbungkuskan 'karpet ruang legar Hotel Sheraton'. Namun, teringatkan bayaran yang tidak murah untuk ke bumi Syuhada' ini, kaki, mata dan seluruh anggota digagahkan untuk menahan sejuk, nafsu dan kerenah arab. Melangkah juga akhirnya ke dewan kuliah.

Anak Khatulistiwa

Matahari tergelincir ke barat. Bayang pula sudah memanjang ke timur. Azan berkumandang lagi. Hiruk-piruk kota masih dipuncak. Masing-masing anak kota mengejar dunia, seolah akhirat hilang nilaiannya.

"Ana baru habis kelas, nak salin baju dulu..kita jumpa di masjid lepas ni ye..insya Allah..." Insya Allahnya hanyalah sebagai tanda janji itu akan dinodai. Salin baju hanyalah alasan untuk melelapkan mata di katil empuk.

"Saya sibuk ni, kejap lagi la baru solat..tak makan lagi ni..kan kita baru je Lunch..." Akhirnya waktu Lunch tamat tanpa sempat menunaikan wajib Zuhur. Terus ke Office dek bimbang lewat lantas gaji terpotong.

Segelintir melayan kerenah anak matanya yang makin mengecil. Kelopak mata yang makin memberat. Sehingga wuduk zuhurnya masih basah saat ketika azan Asar berkumandang.

Usai Asar di garisan Khatulistiwa, makanan terhidang untuk disantap. Air tersedia untuk dihirup. Cuma pilihannya, apakah sebelum ke padang atau selepasnya. Meski itu bukan pilihan, daging kari, ayam merah, tomyam, Kuew Tiau Kungfu tersedia di kedai makan berhampiran. Pun begitu, masih ada dengusan yang tak enak di dengar berpunca dari makanan yang 'tak enak' dimakan. Menu, daging kari, sayur, sambal, kicap dan nasi tomato.


Azan Maghrib berkumandang. Anak Khaulistiwa lebih enak menunaikan fardhu itu di surau-surau persendirian dari menunaikannya di masjid.

Isya' pula bertamu. Panasnya... Mana la kipas-kipas di masjid ni...? Kenapa la tak pasang aircond...? Baik la solat kat bilik. Setengahnya pula sedang menyantap nasi goreng pataya dan air oren dengan ais kurang.

Anak Mediterranean

Tepat jam 11 pagi, perut mula bertutur tanpa tatabahasa. Dr. Muhammad (bukan nama sebenar) masih masyuk mengulas dan menerangkan tajuk-tajuk yang masih berbaki.

11:20, azan Zuhur berkumandang. Usai kelas, bergegas pulang dan akan tiba di rumah tepat jam 12:30. Perut lapar, namun Solat harus diutamakan kerana bimbang azan Asar akan berkumandang setengah jam  kemudia. Kurang benar khusyuk solat kami, anak Mediterranean.

Asar pula berkumandang. hanya sempat menjerang nasi sebelum ke masjid bersolat Asar secara jemaah. Balik dari solat Asar, pastinya tidak akan ada makanan yang siap terhidang. Manna dan Salwa tidak ditakdirkan untuk kami.

Kupas bawang dengan begitu 'sedih', air mata berjejeran tumpah. Hiris lada dan airnya pula terkena pipi. Panas sampai ke malam. Dan akhirnya, barulah hidangan tersedia dan kami menyantapnya dengan nikmat dan syukur. Menunya, hanya telur goreng dan sos tomata yang dicampur sedikit kicap dan lada. Alhamdulillah.

Belum sempat talam berlapik plastik, (demi menjimatkan air) disimpan, azan Maghrib berkumandang dan akan disusuli dengan Iqamah 5 minit selepasnya. Jam baru menunjukkan 4.30 petang ( baca malam )

Isya' selesai dikerjakan. Jam baru menunjukkan 6.20 malam. (petang?) Kelas tafaqquh  yang tidak diwajibkan atau murajaah tanpa mursyid pasti mengundang jemu dan malas. Ambillah yang berkenan.


Makanan rutin Kami, Anak Mediterranean..Buatan sendiri...

Usai, kembali ke rumah untuk mengalas perut yang semakin berkeroncong dipukul dingin bayu dengan ulian gandum arab yang digoreng ( cekodok aka jjeput mmalah ) Sebelum membuka kitab  yang fully berbahasa arab untuk persedian kuliah keesokannya. Nasib baik kamus e Miftah menjadi teman yang setia. Mengelilingi meja bulat dengan suhu ekstrim.Bersabarlah..Hanya untuk tiga tahun kita di sini.


Muraja'ah rutin setiap malam..Kalaulah anak Khatulistiwa juga begini....

Ya Allah, kuatkanlah anak Mediterranean untuk menghadapi dugaan ini...Tanamkanlah dalam jiwa mereka kesabaran yang tinggi..

Ya Allah, syukurkanlah anak Khatulistiwa dalam menikmati hikmat dan nikmat dari-Mu...


Read more...

November 20, 2009

Wasiat Terbuka Untuk Huffaz

Teruskan Manhaj Kebangkitan Generasi Al-Quran


Tulisan ini adalah khusus untuk sahabat Darul Quran. Ditulis sempena Muktamar PERKEMAT DQ tahun 2009.

Assalamu'alaikum warahmatullah wabarakatuh.

Sewaktu warkah ini ditulis, para sahabat di Darul Quran semestinya telah selesai memilih pimpinan yang berkenan di hati masing-masing. Bahkan sedang bersiap sedia untuk bermuktamar pada keesokan harinya. (sabtu )

Selamat bermuktamar.

Pertamanya, sekalung tahniah dan takziah kepada mereka yang bakal memikul amanah yang maha berat dan tidak pernah terfikir untuk memikul jawatan itu. Apa yang kalian bakal rasai esok dan  hari  mendatang adalah apa yang saya dan kami pernah rasainya dahulu. Jalan saya dan jalan kalian adalah sama.

Apapun, bila taklifat Allah itu terpikul, jangan sekali-kali kalian mengeluh, kerana dengan mengeluh itu, syaitan telah berpeluang menyusu masuk ke sanubari kalian. Sebaliknya, bersyukurlah kerana itulah peluang yang maha berharga, tidak mampu dirasai oleh mereka yang tidak dipilih Allah.

Saya yang kini di rantauan amat merindukan kenangan ketika masih bertatih mengenal dunia di bumi barakah itu. Sesiapa juga pasti akan bersetuju dengan saya, bahawa kenangan di Darul Quran tak akan mampu untuk dilupakan. Tambahan pula, saya mula memaknakan kehidupan di situ.

Sempena mengenangkan memori di bumi indah itu, teringin benar untuk saya berkongsi pandangan, world view tentang peranan kita sebagai Huffaz.

Saya banyak menulis tentang kita. TENTANG KITA. Kenapa Nak Hafal Quran. Tiga siri.

Siri Plan Tindakan :

Siri Blueprint
Siri Posisi

Saya juga menulis tentang akhlaq untuk menegur yang tak kena dengan kita. Saya juga menulis tentang impian saya terhadap masa depan kita.

Hari ini saya menulis lagi.

IZINKAN SAYA BERKONGSI

Saban tahun kita bermuktamar. Saban tahun kita berpilihanraya. Saban tahun juga, ada hati-hati yang kita sakiti. Saban tahun juga kita belajar mencaci dan mengeji. Katanya dengan niat tulus untuk membaiki. Sejauh mana kesannya kelakuan kita itu. Saban tahun juga telinga pimpinan kita bernanah, samada dengan pujian, juga dengan kritikan dan cacian dan umpatan.

Sejauh mana kesannya umpatan, kejian malah cacian kita terhadap pimpinan kita...? Satu persoalan yang perlu dijawab dengan tindakan kita selepas ini.

Sejauh mana pula kesannya pujian dan sokongan kita terhadap pimpinan kita selepas ini...? Persoalan ini juga perlu dijawab dengan tindakan.

Sejauh mana juga kesannya perancangan kita selama ini..? Satu lagi persoalan yang juga perlu dijawab dengan tindakan kita.

KITA ITU UTAMANYA

Kita para ahli, pastinya sentiasa ingin diambil berat oleh para pimpinan. Ingin sangat kebajikan kita dijaga. Ingin benar keinginan kita disokong oleh para pimpinan. Ingin benar segala tindakan kita tidak diusik oleh pimpinan. Ingin benar kita terbebas dari sebuah KANUN yang mengikat kita. Terasa tertekan benar memikirkan hal itu. Saya tahu, kerana saya juga ahli selama 2 tahun.

Kita sebagai pimpinan, ingin benar kita bahawa para ahli mendengar segala permintaan kita. Segala KANUN yang kita kenakan. Kita ingin benar melihat semua orang tanggungan kita menjadi yang terbaik. Kita ingin benar melihat semua sahabat kita menjadi sufi, haraki lagi intelektual yang soleh lagi muttaqin. Ingin benar kita menjulang dunia dengan Al-Quran di dada kita. Benar, itulah impian kita. Saya tahu, saya juga pimpinan selama setahun lebih.

Namun di mana puncanya? Dari dulu sehingga ke hari ini, impian kita masih belum tercapai? Impian kita sebagai ahli dan impian kita sebagai pimpinan...?


PUNCANYA KITA

Ada satu golongan yang menggunakan istilah KITA demi kepentingan peribadi. Yang diinginkan hanya keSELESAan untuk dirinya semata-mata.

Siapa dia tu...? KITA. Di kalangan KITA. KITA yang sama-sama menghafaz Al-Quran. Tegurlah dia, nasihatilah dia, jangan biarkan syaitan yang menjadi penasihat setia kepada dia.

Tanamkan PEDULI di hati kita untuk sama-sama melihat kebaikan, bukannya dengan menyorokkan keburukan. Hapuskan keburukan dengan hikmah, bijaksana, bukan sekadar bijaksini.

SATUKAN MATLAMAT KITA

Setiap satu masalah ada jalan keluarnya. Setiap masalah, pasti ada insan yang akan berkorban menyelesaikannya. Maka kita pastinya bukanlah hanya sekadar menunggu datangnya penyelesaian kepada masalah, bahkan kita perlu berusaha untuk menjadi penyelesai itu.

Maka jalan terbaik untuk kita adalah dengan menSATUkan matlamat hidup kita. Bahawa hidup ini adalah untuk menjadi hamba Allah, beribadat kepadanya dengan amalan harian kita.

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus. [ Al-Bayyinah : 5 ]
Dalam beribadat kepada Allah, pastinya ada ujian yang mendatang. Ujian itu adalah dari Allah, untuk menguji, siapakah hambanya yang paling baik.

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun [ al-Mulk : 2 ]

Maka bercita-citalah kita untuk menjadi yang terbaik dicelah-celah ujian yang timbul dan mendatang dalam lurah kehidupan kita di dunia yang sementara ini.


Apakah yang terbaik...?

Persoalan yang bakal menjadikan matlamat kita kembali berselisih.

Ada yang berpandangan bahawa yang terbaik itu datangnya dari Al-Quran yang masyi. Ada juga yang beranggapan bahawa yang baik itu pada bakat kepimpinan yang perlu diasah. Ada juga pada Dakwah dan Organisasi. Ada pula pada intelektual dan fakta serta falsafah.

Ada yang melihat terbaik itu pada bola yang ditendangnya sewaktu azan Magrib berkumandan. Ada juga terbaik pada bebutang Joystick yang digengganmnya sewaktu ayamberkokok di dinihari.

Dan hakikat, ada yang menganggap terbaik itu pada berkenannya nafsu beliau terhadap perkara tersebut. Malu untuk saya ulaskan di sini. Fahamkanlah dengan bertanya pada yang tahu.

Berbezanya kita pada menafsirkan terbaik kerana berbezanya kita pada menilai sesuatu. Value System.

Maka, seharusnya dan seWAJIBnya, terbaik dan baik pada kita adalah yang terbaik dan baik pada tuan kita. ALLAH. Timbanglah amalan dengan neraca Allah. Bukan dengan neraca nafsu dan akal semata-mata.

Maka, suatu hari nanti, jika kita ditegur dan ditegah dari apa yang dilarang Allah dan Rasulnya, lantas kita berang dan geram, itu tandanya IMAN kita bermasalah. Undurlah diri dari berkata-kata, kerana syaitan telah menguasai kita. Bertaubatlah, kerana pintu taubat itu masih amat luas terbuka.

Akhirnya, wasiat saya kepada seluruh sahabat yang amat saya sayangi..

Tanamkan niat di hati untuk membantu Agama Allah.. Memetakan semula syariat di muka bumi ini...Melukis  semula syariat Allah yang telah dipadam oleh musuh Allah di muka peradaban ini dengan bekalan Al-Quran yang tersemat di dada.

Inilah seharusnya ada di hati kita sewaktu kita melangkah kaki mendaftar sebagai pelajar Darul Quran dan menjawab persoalan Kenapa Aku Nak Menghafaz Al-Quran...?

Maka, andai jawapan kita adalah satu pada hari ini, saya yakin, tidak akan ada masalah untuk kita bertatih di Darul Quran. Tidak akan ada masalah disiplin di sana. Tidak akan timbul masalah akhlaq. Tidak akan timbul sebarang masalah, kerana kita telah disibukkan dengan matlamat yang agung itu. Kita juga akan saling bantu-membantu untuk memikul amanah berat itu. KITA AKAN SATU, bukan dua, tiga dan empat.

 Akhirnya renungkan ayat Al-Quran ini :

" Dia telah mensyari'atkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa yaitu: Tegakkanlah agama[1340] dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada (agama)-Nya orang yang kembali (kepada-Nya) " [ Al- Syuura : 13 ]
Renungkan juga sebuah falsafah :

Kita dibenarkan berbeza cara dalam memahami Fiqh, berbeza dalam pendekatan dakwah, berbeza dalam pegangan falsafah, namun, saya tidak pernah melihat bahawa kita dibenarkan berbeza dalam memahami apakah itu AKHLAQ....

Allah, aku menulis untuk ummat mu...Ya Allah saksikanlah...


Sekian :

Mohd Ihsan Fadhli Bin Che Min
Khadam Huffaz sesi 2007/2009.
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Read more...

  © Web Design HASANHUSAINI.COM by Gegar United 2009

Back to TOP