Rabu, 13 Mei 2009

Engkaulah ratu hatiku..

Hari Ibu.

Saya menghubungi ibu dari Kuala Lumpur. Sehari sebelum hari ibu, saya terbang bersama Saga baru kesayangan ibu dari tangga rumah ke Kuantan, seterusnya ke KL.

Sebelum mula perjalanan, ibu berpesan..

" Bawa kereta baik-baik...bukan sayangkan kereta, tapi sayangkan anak lelaki tunggal..kereta, kalau rosak boleh dibaiki, kalau tak ada duit, boleh berhutang..anak, kalau rosak, tak ada spare part.." pesan ibu sambil matanya merenung tepat ke arah mata saya.

Tangan ibu saya kucupi, kemudian ke pipi dan dahi.

Masuk ke kereta dengan kaki kiri, bertolak. Dalam perjalanan, mutiara jernih mengalir lagi. entah kenapa, sejak kebelakangan ini, air mata lelaki saya begitu murah untuk mengalir.

Dua minggu lepas, dua saman laju bertandang ke rumah. Sedikit leteran ibu singgah menjadi tazkirah yang paling baik di dunia. Tapi, sewaktu saya jejakkan kaki ke rumah, ibu tidak pernah mengungkit akan hal itu.

Itulah kasih ibu. Kasih yang tak berbayar dan tidak akan terbayar.

Kasih Ibu, Kasih sejati.

Minggu depan, 23 hb, adik bakal mendaftar sebagai pelajar Tamhidi Syariah dan Undang-undang di USIM.

Tahun ini juga, insyaAllah, saya akan terbang ke seberang laut.

Mengenang itu, ibu tiba-tiba bersuara tika makan malam bersama.

"mungkin ni makan malam empat orang, lepas ni tinggal empat mata je la, saya tengok kat awak, awak tengok kat saya.." ibu memandang pinggan nasi selepas mengalihkan pandangannya dari ayah.

" malam ni, lauk telor goreng tawar masih manis lagi, lepas ni, lauk ayam pun jadi tawar la..." kelam suara ibu dari dadanya.

"lepas ni, telor kat kedai Azhar tak laku la, sebab pelanggan tetap dia dah ke Jordan..." adik perempuan saya cuba menyinarkan suasana.


"ehem", saya membetulkan kedudukan kerongkong yang sempit. Ketawa tak mampu dilepaskan. Ibu sedang menyampaikan isi hatinya.


Usai makan, saya menghulurkan buku "Bidadari Dari Timur" kepada ibu.

Sambil itu, saya mendampingi ibu.

" Ma tak bagi abang belajar jauh ke?" saya cuba mencari kepastian.

" Bukan begitu maksud ma..bukan tak bagi belajar jauh..cuma..." Suara ibu tersekat.

" Eherm...cuma, ibu mana yang tak sayang kat anak dia..kalau boleh, dia nak tengok anak-anak dia setiap hari, setiap jam, setiap saat.." Perasaan ibu lerai.

Air matanya merembes sama laju dengan untaian manik di pipi saya.

Teringat suatu ketika dahulu.

"Di Nilam Puri (KIAS) tu, tak ada ijazah ke..". Ibu pernah bertanya begitu ketika saya menyampaikan hasrat untuk ke Mesir bila mendaftarkan diri sebagai calon STAM.

Terkenang kesunyian ibu selama 16 tahun sepeninggalan ayah. Ibu sendirian mendidik anak nakal seperti saya.

Pantang lewat sampai ke rumah, ibu pasti menyusur dengan motor pusaka peninggalan ayah, menjejaki anak lelaki nakalnya. Kadang-kadang saya mandi sungai, kadang-kadang saya terjun sawah mencari lampam, keli dan haruan.

Jarang-jarang saya mencuba teknik baru menunggang motor dengan motor kawan.

Semuanya itu membimbangkan ibu.

Ibu bimbangkan anaknya rosak, punah menjadi sampah masyarakat. Ubat ibu waktu itu bervariasi. Kadang-kadang berakhir dengan libasan rotan yang hinggap.

Tidak seperti anak zaman sekarang. Ibu pernah berkongsi bersama teman sejawatannya, ibu tunggal.

" anak aku, nakal juga.. tapi kalau rosak pun, bukan rosak akidah..mandi sungai, naik pokok..anak zaman sekarang, tengok vcd lucah, gambar lucah, internet, tu semua rosak pemikiran..susah nak diubati.."

Namun, setiap kali selepas merotan saya, ibu pasti menangis dan menyebut nama ayah. Rotan yang ditinggalkan ayah itu hanya diguna bila kenakalan saya memuncak.

Betapa susah ibu memikul tugas lembut seorang ibu dan tugas tegas seorang ayah.

Malamnya, bila saya nyenyak tidur, pasti ibu datang mngusap ubun-ubun dan membacakan doa :

Ya, Allah, kau kurniakan kepada ku dari pasangan ku dan anak-anakku sebagai penyejuk mata, dan jadikan kami imam (ketua) kepada orang muttaqin.

Pernah saya tersedar saat ibu menyapu ubat ke tempat luka hasil libasab rotannya ke tempat tak berbaju saya. Ibu menangis saat itu.

Dan hari ini..

" San, maafkan ma ye...dulu ma rotan, cubit..." Ibu menangis lagi.

Saya semakin sebak.

Tanpa kalimah di lisan, hati saya berbicara:

Ibu, rotanmu membentukku, Leteranmu pemanis hatiku, Cubitanmu mengukir peribadiku.. Semuanya kerana hasrat ibu yang tinggi, menginginkan daku menjadi insan soleh..berperibadi tinggi..muslim sejati..

Tiga tahun lalu, saya memperkenankan pinangan untuk ibu, saya menjangkakan bahawa ibu pada suatu hari nanti akan memerlukan teman pengubat kesunyian saat kami berdua melangkah luas menyambung pelajaran.

Dan hari ini, dalam kesayuan, saya menaruh harapan kegembiraan. Ibu sudah berteman. Ayah pasti akan menjadi ayah sejati menemani kesunyian ibu.

Ibu..engkaulah ratu hatiku...




2 ulasan:

  1. Subhanallah! Penceritaan yang menyentuh jiwa =) Thanks for this amazing sharing!

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]