Ahad, 24 Mei 2009

Tribute Untuk Adik


Senyuman terakhir ibu hari ini...

23 Mei tarikh keramat buat adik saya. Beliau kini selamat berdaftar sebagai pelajar Tamhidi Syariah dan Undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia.

Sepanjang perjalanan, ibu menghabiskan sisa waktu yang berbaki sebelum berpisah dengan adik sebaiknya. Kasihan ibu, sendirian pasti di rumah selepas ini. Hanya berteman ayah. Saya mungkin tidak banyak waktu yang boleh diluangkan bersama ibu.

Adikku, sungguh besar harapan ibu ingin melihat anak-anaknya berjaya.

Bukan berduit ibumu untuk menyara sepenuhnya pengajianmu. Namun bukan kepalang usahanya untuk memudahkan urusanmu. Ayah juga begitu. Kesepuluh anaknya tidak terhantar, namun anak tirinya kini diusahakan untuk menghantar sama.

Adikku, sesungguhnya, banyak mata sedang tertumpu kepada keluarga kita. Keluarga Wahab Maryam. Keluarga yang pernah menjadi tunjang pergantungan di kampung. Keluarga orang alim.

Banyak juga mata-mata yang tertumpu kepada kita. Yang baik, alhamdulillah, cuma dibimbangi, mata yang mengintai keburukan untuk disebar luaskan. Lantaran hasad mereka kepada keluarga kita.

Adikku yang disayangi..

Tinggi juga harapan ayah dalam diarinya yang kini masih ku simpan.. harapannya kita menjadi insan yang bertaqwa, biar apa gelaran yang diraih.

Harapnya agar kita menjadi insan yang bermanfaat, menyumbang jasa.

Adikku..

Sesungguhnya ketika ini, ibu kesedihan lantaran kesepian dan kesempitan.
Berjanjilah duhai adikku, betkadlah bersama ku, bahawa kita akan tukarkan duka wajah ibu suatu hari nanti dengan langkah kita pada hari ini.

Adikku, berjanjilah untuk mengubat luka hati ibu di hari esok. Berjanjilah bersamaku untuk mengukir senyum diwajah kusam itu bila dengan senyuman yang bercahaya di wajah yang kian dimamah usia itu.

Adikku, kesunyianmu di sana bakal hilang dengan kehadiran rakan-rakan dan kesibukan pelajaran. Namun, kesunyian ibu dirumah hanya diubati ayah yang kian uzur dan cicipan unggas yang berzikir.

Adikku, tersuskan usaha menggapai kejayaan, kerana restu ibu bersamamu. Tekadkan kakimu di perantauan untuk pulang membawa senyuman di hati ibu.

Ikhlas dari kekandamu.


Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]