Selasa, 21 Julai 2009

Tiba-Tiba Terasa Jemu

Sekembali dari Ko-Spins 09, saya banyak memikirkan tentang perkembangan diri sendiri, apakah membanggakan atau sebaliknya?

Tambahan pula bila kenyataan dari para pembentang mengiyakan lagi tanggapan sekularnya sistem yang telah saya lalui.

Aku zuriat sekular!!

Berada beberapa hari bersama Naqib, sambil menolong menyempurnakan permintaan adik usrah saya untuk membeli beberapa buku terbaik, saya banyak merenung.

Merenung masa depan, apakah benar jalan yang sedang saya lalui sekarang?

Kini saya berada di rumah. Meninjau-ninjau dari jauh, pergolakan politik yang berlaku di persada politik antarabangsa, nasional dan juga peringkat mahasiswa melalui jendela broadband Celcom saya.

Akhirnya pada hari ini, tidak kurang dari sepuluh orang sahabat menanyakan, mana posting saya yang terbaru?

Ya. Tanpa sedar, saya tidak mengisi laman ini dengan isian yang berkualiti semenjak domain baru ditukar. Posting hanya sekadar makluman dan isian perasaan semata-mata.

Sambil menemani datuk yang semakin uzur di katil pesakit HRPZ II, Kota Bharu, saya membelek semula buku-buku yang telah lama dibeli, namun dibeli semula selepas peminjam tidak memulangkan buku-buku tersebut.

Belek buku Dr. Ugi Suharto. Belek Buku Us Riduan Mohamad Nor, belek juga Majalah Solusi. Tidak dilupakan karya-karya semasa dari laman-laman blog.

Saya lebih tenang membaca dari melayan penziarah yang datang membawa mulut ditepi pesakit, bukan untuk bercakap benda yang baik-baik, tapi meratah daging mayat mentah.

Maka saya menyendiri di balkoni yang diterangi lampu kalimantan sederhana besar, sambil membaca, terlintas akan slot kegemaran saya di IKIM.fm, Duniaku Buku.

Pasang headphone dan terus ke udara bersama panel.

Tak tersangka, bagai tahu akan gelojak hati saya, Us Zamri sedang mendiskusikan buku yang pernah menjadi rujukan saya untuk menyiapkan tesis tentang Usrah di Darul Quran, Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa Ke Pangkuan Islam.

Us Yusri dan Dr. Farid yang menjadi panelnya. Sesuai dengan kedudukan buku tersebut yang merupakan buku terbitan ABIM dengan kerjasama Thinkers Library.

Saya berusaha menenangkan minda untuk menerima dan memproses maklumat dengan adil. membunuh prejudis yang ingin bertamu pasti menjadi kewajipan kepada mereka yang ingin mengkaji.

Banyak sisi baru yang didedahkan. Terlalu banyak. Sehingga saya tiba-tiba terasa jemu. Terasa jemu untuk berpencak dengan gaya yang sama.

PENCAK RITUAL

Saya antara pengemar seni mempertahankan diri. Silat Gayong, Silat Sendeng, Silat Pulut, Silat Abjad malah Artide dan Tang Soo Do.

Namun akhirnya saya jemu. Jemu bila gaya yang sama di ulang-ulang.

Ritual.

Lalu guru saya berpesan, pencak yang terbaik adalah bila anda mampu 'berijtihad' dalam melakukan gerak. Malah mungkin gerak itu adalah gerak 'luar kotak' manhaj pencak terbabit.

Untuk ber'ijtihad', kita perlu mengkaji gerak lawan. Mengkaji gaya lawan. Mengkaji langkah dan kuda lawan. Menguasai kelemahan dan kekuatan mereka, barulah boleh ber'ijtihad'.

SHARPEN THE SAW

Mungkin sesuai untuk saya samakan proses mengkaji dan menyelidik tersebut dengan habit terakhir Covey, Sharpen The Saw.

Di pentas mahasiswa, perlu ada golongan yang sentiasa mengkaji secara akademik mahupun secara syariatik. Bagaimana peluang yang ada untuk kembali menumbangkan kejahilan dan kezaliman.

Dalam pentas nasional, tak semua perlu turun ke pentas berpolitik, malah wajib untuk ada satu kelompok yang mengkaji dan menyelidik. Moga hasil penyelidikan mereka bakal disampaikan kepada mereka yang kembali dari medan juang.

Maka, kesimpulan yang harus kita terima adalah, kita kekurangan mereka yang mengkaji dan menyelidik lantaran terlalu ramai yang ingin berpencak di medan siyasi, kita lupa medan intelktual yang lebih memberi kesan.

Sedangkan itulah saranan Allah :

122. Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya [Al-Taubah : 122]

Maka, dengan metod inilah, 'Naqib' kepada Salahuddin Al Ayyubi juga Sultan Muhammad Al-Fateh merangka satu manhaj syumul dalam memastikan generasi yang soleh akan lahir, seterusnya melayakkan mereka untuk menjadi wira ( khalifah ) di muka bumi ini.

Firman Allah :

105. Dan sungguh telah Kami tulis didalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauh Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang soleh [Anbiya' : 105]


Saya tahu akan ramainya jumlah mereka yang mendokong idealisme DSAI, mendokong fikrah TGNA dan TGHH, tapi seberapa ramaikan yang benar-benar jelas akan matlamat dalam pemikiran figur tersebut?

Atau kita hanya masih lagi terperangkap dalam 'semangat', bukan faham. Atau kita hanya terperangkap dalam perasaan 'faham' yang sebenarnya perasan faham.


MENENTANG MUSUH
: SIAPA?

Musuh yang berkeliaran di sekeliling kita teramat ramai sekali. Tidak terbilang. Tapi, siapa mereka? Bagaimana ingin menewaskan mereka?

Untuk menewaskan musuh, pasti kita perlu mengenali mereka serta mengetahui seleok-belok pemikiran mereka, seterusnya mengkaji dan mencari kelemahan. Maka, secara logiknya, dengan terlaksananya prinsip ini, musuh pasti tumbang. Al-Fateh telah mengajar sebegitu.

Maka siapa musuh kita?

Kapitalis? Liberalis? Komunis? Sekularis? Feminis? Emansipasi?

Maka, Sejarah Pemikiran dan Ideologi dunia perlu saya kuasai.

Maka, tiba-tiba saya jemu untuk berpencak.

Jemu berpencak dengan gaya yang ritual.

Saya ingin bersiap untuk ber'ijtihad' dengan gaya baru.

Terasa ingin menyahut saranan Us Khalid Al-Yamani, berpencak di medan fuqaha' dengan bimbingan Dr Zulkifli Muhammad Al-Bakri.

Ya Allah, bantulah aku memilih jalan hidup untuk memaknakan penghambaan diri pada Mu...


Komen AndaAdalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

1 ulasan:

  1. insyaAllah, ana akan berpencak di gelanggang intelektual!

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]