Khamis, 30 September 2010

Zawaj, Ibubapa dan FACEBOOK.

"Larikan sahaja diri kalian dari mata manusia, nescaya Mata Allah senantiasa memerhati kalian, tanpa rehat mahupun tidur." Dr. Syuwesh berfalsafah lagi di dalam kuliah bimbingan beliau. 

Subjek Zawaj yang dibimbingnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperbetulkan tanggapan segelintir minda tempang terhadap institusi perkahwinan.

Panahan cinta sebelum kahwin yang hanya menipu tidak akan mampu menyuluh masa depan yang berliku. Pandangan cinta sebelum kahwin cantik dan indah hanyalah kerana hiasan musuh celaka, Syaitan laknatullah. Lantas, segalanya hambar selepas akad sempurna. Tiada lagi kecantikan yang menghiasi, hanya benci yang berbaki. Lalu, gegaran Arasy yang menjadi jawapan kepada mereka yang menuruti kata hati yang mati. Maka, banyaklah rumahtangga yang hancur sebelum ianya ditimpa badai ujian.

Dua kali pertemuan bersama Dr. Syuwesh, kami dihidangkan dengan falsafah perkahwinan dan nasihat dari beliau. Itulah teknik yang cukup sinonim yang selalu dipraktikkan oleh beliau.

Masih terngiang-ngiang di telinga saya, nasihat berslogan yang dilontarkan, disambut baik oleh gegendang telinga saya, disimpan kejap dihati kecil sana.

Jangan sekali-kali kalian jadikan Kuliah Syariah sebagai Taman Percintaan!!

TERKEJUT BERUK

Sebulan yang lalu, saya di Tanah Air. Nusantara yang terkenal dengan budaya timur yang lembut dan sopan. Melayu yang masyhur dengan tertib dan budi. Bak kata pak arab di Saudi beberapa tahun yang lalu, " Kamu macam Malaikat...baik sangat!".

Setahun saya bergelumang dengan pelbagai karenah arab yang memualkan. Kembali ke kampung halaman, pastinya mengundang ketenangan. Ya, budi bahasa budaya kita.

Namun, tidak sampai 24jam saya di tanah air, jantung saya bagai terhenti seketika. Membaca statistik terbaru anak haram dan anak zina. Statsitik pembuangan dan pembunuhan bayi. Tambah terkejut dengan berita-berita pembunuhan yang cukup tragis. Semacam skrip cerita CSI.

IBUBAPA DAN FACEBOOK

Dewasa ini, seratus jalan diuka menuju maksiat. Seribu jalan dibina menampung maksiat. Sedang hanya satu dua cara untuk mencegah maksiat diusahakan. Bahkan yang satu dua itupun, mahu disembelih dan dilenyek-lenykkan.

Ya. Tidak cerdik untuk dituding sahaja jari kita kepada mereka. Peranan kita di mana?

Sedang anak remaja sibuk bercengkerama di Facebook dan alam maya, ibubapa hanya bergembira dan melurut dada tanda lega. Anak-anak mereka ada di depan mata. Mengulangkaji mata pelajaran barangkali. Itu yang bermain di fikiran mereka.

Mudah benar manusia berbaik sangka. Mereka lupa, serangan tentera iblis itu mampu menyelinap ke urat darah, menembusi saraf yang paling halus. Apalah sangat perisai bunglow dua tingkat bersekuritikan jeriji aluminium itu. Senang sahaja makhluq itu menembus masuk.

Keberadaan anak di rumah belum menjamin keselamatan rohani mereka, meski jasmaninya sedikit terjamin dengan pagar yang terkatup rapat dan roda 125Z atau 135LC pula terantai kemas.

Radar ibubapa perlu lebih sensitif. Diam remaja bukan diam terbantut. Diam mereka ada isinya.

Perbuatan ibu bapa menjahilkan diri terhadap cabaran yang didepani olek anak remaja adalah perbuatan yan mengundang nestapa. Jangan berfikiran pendek dan hanya bertenang bodoh dengan ayat, "Rumah saya selamat sebab tak ada streamyx".

Ibu dan ayah di kampung, belajarlah FACEBOOK. Kawallah dunia baru anak anda.

HASANHUSAINI, 
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

1 ulasan:

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]