Isnin, 27 Februari 2012

Saya, Lynas dan Kuantan


Saya dan Kuantan mempunyai hubungan sentimental yang sangat istimewa. Banyak cerita yang dan warna yang saya lakarkan di bandar pesisir pantai itu. Hari ini, Kuantan dilanda sebuah gelombang bernama Lynas. Kilang memproses nadir bumi dari Australia bakal dibina di Gebeng, tidak jauh dari Kuantan.

Seluruh rakyat gempar dengan berita ini. Masing-masing terbayang akan janin yang cacat, manusia berkepala besar dan bermata sebiji. Nilai hartanah akan merudum, air dan udara bakal tercemar dan kehidupan bakal terancam. Itulah persepsi yang timbul apabila perkataan Lynas disebut.

Persepsi ini menggelamkan segala macam manfaat yang mampu diraih dari penubuhan kilang proses nadir bumi ini. Itulah realiti yang harus diterima. Manusia akan lebih cenderung untuk terpengaruh dengan persepsi berbanding untuk mempercayai fakta.

Secara peribadi, itulah yang saya rasai. Perasaan ini timbul seteleh melihat beberapa rentetan peristiwa dan kejadian yang meragut kepercayaan saya kepada tadbir urus negara.

PERSEPSI, AKADEMIK DAN BUKTI LAMPAU

Secara akademiknya, kilang Lynas terbukti selamat. Itulah kenytaan di atas kertas putih yang dicoretkan oleh para pakar yang berkaitan. Namun, siapa yang sudi untuk percaya seteleh melihat stadium di Terengganu runtuh secara tiba-tiba dan strukturnya dilaporkan tidak akan dapat dibaikpulih? Sedangkan secara akademik dalam laporan kertas putih, stadium ini adalah selamat dan tidak akan runtuh.

Siapa pula yang sudi percaya selepas mereka meliihat laporan beberapa salah urus ketara yang akhirnya menyebabkan bumbung mahkamah runtuh? Sedangkan secara akademik dalam laporan kertas putih, bumbung ini adalah selamat dan tidak akan runtuh.

Siapa pula yang akan percaya setelah peristiwa di Bukit Merah tidak berlaku sepertimana yang dijanjikan?

Siapa pula yang akan percaya setelah melihat laporan audit negara 2010 oleh ketua audit negara?

Maka, isu yang sebenar adalah isu ketidakpercayaan rakyat biasa terhadap tadbir urus negara yang terbukti kebelakangan ini sangat teruk dan tidak telus.

Bagaimana pula dengan pandangan pakar?

Sepatutnya apabila pakar bersuara, kita akan tunduk mendengar lalu percaya. Itu yang sepatutnya. Tapi kita telah melihat beberapa pakar sebelum ini disepakterajang dan dibakulasampahkan pandangan dan pendapat mereka seperti Tun Salleh Abbas dan Dr. Aziz Bari. Disamping itu, ada pula pakar yang cakapnya sembrono dengan lidah yang jauh lebih laju dari akal lalu kemudiannya menarik balik kenyataan yang dilontarkan selepas meragukan ribuan rakyat. Maka hari ini, bagaimana untuk rakyat yakin dengan pandangan mereka? 

Manusia, sekali dicabut kepercayaan dari mereka, sampai mati keraguan akan membelit jiwa mereka.

Saya adalah salah seorang dari manusia.

Bacaan berkaitan :

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]