Khamis, 27 September 2012

Kenyataan Media MPMMJ Sempena Belanjawan 2013




Assalamualaikum, dan salam sejahtera. 

Kami mulakan dengan mengucap syukur kepada Tuhan, kala ini Malaysia kian bertambah maju dan membangun pesat, selepas 55 tahun kemerdekaan. Inilah hasil sinergi, antara pihak kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Najib Tun Razak, dengan seluruh rakyat Malaysia. Berpadu dan bersatu, demi kemajuan dan kejayaan Malaysia tercinta. Kami rakamkan juga penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas usaha gigih beliau, dengan gagasan ideanya; yang merangkumi idea 1Malaysia, serta program–program transformasi. Tahniah kami ucapkan. 

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang kami hormati, 

Kami, adalah ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) yang bernaung di bawah Education Malaysia Jordan (EMJ). 

Kami sangat teruja dengan ruang bersuara dan menyampaikan pandangan yang disediakan Dato' Seri. Sebagaimana yang kami ikuti di laman–laman sosial Dato' Seri, kami dapati Dato' Seri bersungguh–sungguh mendapatkan pandangan rakyat terutama golongan muda seperti kami dalam proses perangkaan Belanjawan Negara ke–13 ini. 

Untuk makluman Yang Amat Berhormat Dato' Seri Perdana Menteri, sejak peristiwa Revolusi Arab yang melanda negara–negara Arab, bilangan pelajar yang menyambung pengajian di Jordan meningkat mendadak. Tambahan pula, kelihatan timbul di celah masyarakat Malaysia, para graduan dari Jordan yang cemerlang memberi sumbangan kepada negara. Tahun ini sahaja, untuk makluman YAB PM, seramai 1089 orang pelajar baharu untuk sesi pengajian kali ini menjadikan jumlah keseluruhan pelajar Malaysia di Jordan mencecah 3000. 

Maka, dengan jumlah ini, kami pastinya memerlukan prasarana dan fasiliti yang baik untuk meneruskan kehidupan di bumi asing ini dengan sempurna. Keperluan untuk beraktiviti dan berprogram mendesak kepada prasarana baharu yang lebih baik. Keperluan kewangan, dewan, ruang mesyuarat, pejabat dan aktiviti penting untuk menjamin kelangsungan tanggungjawab sosial, kebajikan dan pembangunan mahasiswa Malaysia di Jordan. 

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang kami hormati, 

Maka, izinkan kami sampaikan pesanan dan hasrat yang mewakili aspirasi setiap pelajar Malaysia di Jordan. Kami mohon, agar Dato' Seri menyuntik sedikit perhatian Dato' Seri buat kami, komuniti pelajar Malaysia di Jordan dalam rangkaan belanjawan nanti agar tanah air kami Malaysia terus dirahmati Allah. 

Sekian, terima kasih. 

1Malaysia; Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera


Ahmad Kailani Bin Zahari
Presiden
Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan

Noraziah Binti Md Esa
Pengerusi
Hal Ehwal Wanita Islam, MPMMJ

Wan Muhammad Najib Bin Daud
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid

Mohd Ihsan Fadhli Bin Che Min
Presiden
Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah

Nihad bin Mohd Noor
Presiden
Persatuan Mahasiswa Malaysia Al Al-Bayt

Arif Amin Bin Rusihi
Presiden
Persatuan Penuntut Malaysia Amman

Yang Dipertua 
Badan-Badan Kebajikan Anak Negeri


Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]