Rabu, 5 September 2012

Pencuri Pisang


"Pencuri! Pencuri! Tangkap Pencuri!" Jerit seekor monyet yang merupakan pegawai PBT Kampung Apes dari tingkap banglow 3 tingkatnya. Menurut laporan berita perdana, rumah itu dibina hasil tabungannya sejak kecil. Pelik, tapi benar. Gajinya hanya cukai pisang dan buah-buahan dari titik peluh rakyat monyet Kampung Apes, tapi mampu memiliki rumah sebesar itu.

Arakian, berlarilah seluruh penduduk kampung mengejar si pencuri. Ada yang berkaki ayam, bukan dek terlalu ingin cepat, tapi dek kerna dipukul kemiskinan sejak 55 tahun merdeka.

Pencuri akhirnya ditangkap bersama sebiji pisang yang dicurinya dari rumah banglow tadi dan dibawa ke muka pengadilan.

Mesyuarat panel hakim berlangsung. Para hakim pening memikirkan kejadian curi semakin menjadi-jadi. Malah pencuri yang ditangkap sebentar tadi juga telah 32 kali melakukan perbuatan yang sama. Pelbagai hukuman telah dijatuhkan untuk menyedarkannya, namun tidak mendatangkan hasil.

Maka, ketua hakim mengusulkan perkara itu ke kabinet kerajaan persekutuan monyet. 

Selepas bersidang sebanyak sekali sahaja selama enam puluh minit, maka satu undang-undang baharu digazet. Pencuri adalah musuh utama negara, maka mereka patut menerima hukuman bunuh.

Maka, saban hari darah rakyat monyet yang kelaparan mengalir... Kesalahannya adalah satu, mencuri sebiji pisang untuk mengalas perut..

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kampung Apes hanya sibuk memikirkan, bagaimana cara paling efektif untuk menangkap dan menghukum monyet pencuri. Mereka terlupa untuk mencari masalah sebenar, kenapa monyet itu mencuri.

Sementara itu, orang besar mereka yang mencuri selori pisang setiap hari masih terselamat.

Suatu hari, seekor monyet menulis, 

Pencuri pisang itu mencuri untuk hidup,
Pencuri pisang ini hidup untuk mencuri,
Pencuri pisang itu mencuri hanya sebiji,
Pencuri pisang ini mencuri 'hanya' selori,
Pencuri pisang itu kita pasung,
Pencuri pisang ini kita junjung,
Pencuri pisang itu kita gergaji,
Pencuri pisang ini kita gaji,

Alangkah lucunya negeri ini...





HASANHUSAINI,
Nilam Puri, Kelantan

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]