Selasa, 9 April 2013

Pesan-Pesan Minda



Manusia adalah makhluk akal dan makhluk pilih. Dalam bahasa syariat, disebut mukallaf. Setiap mukallaf akan disoal terhadap apa yang dilakukan di dunia. Justeru, kenapa perlu diswastakan akal anda kepada orang lain untuk menentukan pilihan yang perlu anda buat?

Manusia yang tidak sempurna akal, tidak berhak membuat keputusan. Lihatlah orang gila, kanak-kanak. Ibu bapa dan penjaga yang bertanggungjawab membuat pilihan dan keputusan ke atas mereka. Malah, kalau mereka membuat keputusan tanpa izin penjaga, keputusan itu boleh dibatalkan di sisi ulama'.

BAHAYA SWASTAKAN IBADAT

"Solat kamu tidak sah! Syeikh A sebut, solat sebegini tidak menepati solat Rasulullah S.A.W." Kata Abud.

"Hadis yang diriwayatkan itu kurang kuat berbanding hadis yang disebut oleh Syeikh B. Maka, saya ambil hadis yang lebih kuat. Kenapa solat saya tidak sah?" Balas Abid.

"Tapi, sujud kamu tak sama dengan sujud Syeikh B." Abud mempertahankan pandangannya.

"Dalam hal sujud, dalil Syeikh B kurang kukuh, saya pakai dalil Syeikh A pula. Dalil Syeikh A lebih kuat dalam soal sujud." Abid tetap dengan pendiriannya.

"Oh, kalau macam tu, kamu telah menolak mazhab, kamu sesat! Wahabi! Mujassim! Bukan setakat solat kamu tidak sah, akidah kamu juga terpesong, semua ibadat kamu tidak diterima. Kamu mesti mengucap semula." Muka Abud merah padam.

Abid tersenyum melihat kerenah Abud. Fikirannya tercelaru dan keliru. Perbezaan beberapa cabang kecil dalam soal ibadat yang tidak menatijahkan batal solat, akhirnya melahirkan kalimah sesat dan kufur.

KELANA ILMU MENCARI PELANGI

Saya berlepas diri dari menswastakan akal dan hak memilih saya kepada orang lain.

Tatkala saya belajar dengan syeikh A, ia tidak menghalang untuk saya juga turut mengambil manfaat dari Syeikh B, C sehingga Z. Tatkala saya berguru dengan sesiapa sahaja, tidak salah untuk saya menolak pandangan guru tersebut dan menerima pandangan guru lain.

Kelana ilmu saya masih muda. Namun, saya punyai prinsip dan pegangan tersendiri dalam soal aliran pegangan. Saya mengelakkan diri dari taasub kepada mana-mana aliran. Taasub hanya akan membutakan saya pada matlamat mencari 'ahsanu 'amala'.

Saya berada di ribaan datuk sejak bergelar yatim. Mendagu di celah ribaanya sambil mendengar kuliah beliau saban pagi Jumaat dan malam Selasa. Beberapa kitab tafsir, hadis dan akidah diselak. Hasilnya, sejak berumur 8 tahun, saya sudah pandai bermuamalah dengan معجم فهارس لألفاظ القرءان.

Berpindah ke pondok, saya mencuba pelbagai ragam aliran. Menghafal matan-matan nahu, sarf, aqidah dan fiqh dengan menjadikannya wirid dibelakang solat fardhu. Menadah Minhaj Al-'Abidin  dan Raudhatul Tholibeen dengan Syeikh Zaim Derang. Menadah Bidayatul Hidayah dengan Ust Muhammad. Menadah Al-Iqna' dengan Mudir Syeikh Subki Al-Hafiz. Menadah Al-Hikam Ibn 'Athaillah di ribaan TG Baba Abd Rahim. Bertarekat dengan beberapa guru mursyid. Berlaga lutut dengan beberapa kitab pondok klasik bersama TG. Pakteh Ibrahim. Membedah Arba'in An-Nawawi dengan Syeikh Muhammad, Mudir Pondok Banggol Setol dan mantan Imam Masjid Negara. Menuntut rawatan Islam bersama Syeikh Zinal Abidin. Berteleku juga di depan Syeikh Muhammad Nuruddin Al-Banjari dengan mengkhatamkan beberapa kitab tulisan beliau dan menerima sanad beberapa amalan dan hizib. Sejak itu, serban tidak pernah lekang dari kepala saya meski sedang menunggang motosikal mahupun ke pusat membeli-belah SOGO. Kenangan!

Singgah di Darul Quran, saya terus memecut minda untuk terus berlari. Saya menerokai lebih banyak pintu ilmu. Pesan-pesan guru yang baik saya simpan ke hari ini. Ustaz Shamsul Bahari dari Jordan, Ust Zuhdi dari Makkah, Ust Asri dari Pondok, Ust Ibrahim dari Mesir, Ust Zamri dan Ust Buhairi dari Malaysia. Mereka semua guru saya. Namun, saya tidak menswastakan akal saya kepada mereka.

Membelah awan ke Jordan. Saya semakin ceria, dihidangkan dengan pelbagai warna-warni latar belakang pemikiran. Tidak ada pensyarah di Fakulti Syariah, Mu'tah University melainkan saya pernah berteleku menadah pengalaman dari mereka. Malah, saya turut menyelam ke dasar-dasar daerah lain untuk meneguk tetesan hikmah dari setiap ulama' yang ada, meski hanya sekali pertemuan. Syeikh Solah Al-Khalidi, Syeikh Syuaib Arnaouth, Syeikh Hammam Said, Syeikh Fadhl Hasan Abbas rahimahullah dan ramai lagi. Sekali lagi, saya tidak menswastakan akal saya kepada mereka.

Sejak 2010 sehingga berlakunya revolusi, saya sempat beberapa kali ke Syria. Di sana, sekali lagi saya mewarnai diri dengan kepelbagaian aliran pemikiran di sana. Selain dari menjenguk kuliah-kuliah di Mujamma' Syeikh Ahmad Kiftaro dan Maahad Fath, saya mendekati Syeikh Bouti, Syeikh Nuruddin Itr, Syeikh Hasan Hito, Syeikh Mustafa Bugha dan Syeikh Rushdi serta Syeikh Firas. Bersama Syeikh Hasan Hito, saya sempat menamatkan kitab Usul Al-Fiqh dan Al-Mutafaiqihoon karangan beliau. Sekali lagi, saya tidak menswastakan akal saya kepada mereka.

Saya tidak sempat menziarahi Ilmuan Yaman, Mesir, Maghribi dan sebagainya. Imbalannya, saya menjenguk Habib Umar ketika kunjungannya ke Jordan. Rakan saya sempat menghadiahkan sehelai rida' kesayanganya kepada syeikh. Setelah tidak sempat bertemu mata dengan para guru yang lain, saya melabur leburkan sejumlah wang untuk menatap kitab-kitab mereka. Himpunan kitab itu saya selak untuk mencerapi gaya fikir mereka yang perlu saya terokai. Kitab-kitab Al-Qaradhawi, Al-Zarqa', Al-Nadawi, Ibnu 'Ashur, Ar-Raisouni, Muhammad Imarah, dan banyak lagi menjadi rujukan pemetaan minda saya. Sekali lagi, tidak sekali-kali saya menswastakan pemikiran saya kepada mereka. 

Saya harus menjadi mukallaf yang hakiki. Saya mesti menggunakan akal saya untuk menilai seterusnya memilih jalan yang terbaik untuk saya telusuri. Apabila saya berguru dengan Syeikh A, tidak semestinya saya langsung tidak boleh berbeza pendapat dengan beliau lalu mengambil pandangan dari Syeikh yang lain. Saya masih memegang sifir, berguru adalah salah satu wasilah untuk mencari 'yang terbaik'. Maka, pilihlah jalan yang terbaik dari kalangan jalan yang ada. Tidak mustahil, pandangan yang benar itu datangnya dari seorang guru yang paling kecil, paling terpencil dan paling rendah martabatnya.

Bukankah Rasulullah sollallohu 'alayhi wasallam pernah menyebut sebuah hadis : 

ورب حامل فقه إلى من هو أفقه منه : رواه أبو داود
Mungkin orang yang membawa fiqh (ilmu) itu kepada orang yang (bakal) lebih alim darinya.

KEBENARAN : APA, BUKAN SIAPA

Kerap kali kita mendengar sedutan pesanan Saidina Ali kwh, bahawa kebenaran itu tidak diukur pada batang tubuh indivu, tapi pada isi dan faktanya.

Saya ingin menambah dengan membawa sedikit interpretasi saya terhadap sepotong ayat al-Quran dalam surah Al-Naml, ayat ke 34.

Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.
Raja Saba' yang dipopularkan sebagai Ratu Balqis melontarkan sebuah kenyataan bahawa setiap raja yang ingin menjajah negeri baharu akan menjadikan raja negeri tersebut sehina-hina makhluq.

Meskipun Ratu Saba' adalah seorang perempuan yang kufur (menyembah matahari), manakala Nabi Sulaiman 'alayhissalam pula tidak bersifat dengan sifat tersebut,  Allah azza wajalla mengiayakan kenyataan umum itu dengan sebuah respon ringkas, dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.

Justeru, harus kita insafi bahawa kebenaran itu boleh datang dari sesiapa sahaja. ia bukanlah milik mutlak mana-mana makhluk. Khazanah adil dan benar itu hanya milik Allah. Lantran itu, sebuha pesan Allah  dalam ayat 76, surah Yusuf : 
Dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui.
Sejak dua tahun lepas, saya menerokai sawah baharu dalam mencari -benar- Saya semakin berani menyentuh buku-buku yang ditulis oleh bukan Islam.

MESTIKAH HANYA SALAH SATU BENAR?

Selepas tamat peperangan Ahzab, Rasulullah sollallahu 'alayhi wasallam mengarahkan sekumpulan sahabat untuk menuju ke perkampungan Bani Quraizhah.

لا يصلين أحد العصر إلا في بني قريظة: رواه الشيخان
Janganlah kalian solat Asar melainkan di perkampungan Bani Quraizhah.

Maka, dipertengahan jalan, beberapa sahabat berhenti dan menunaikan solat Asar tatkala tiba waktunya, sedangkan sekumpulan yang lain meneruskan perjalanan sehingga ke destinasi. Perkara ini diajukan kepada Rasulullah sollallahu 'alayhi wasallam. Baginda mengiktiraf kedua-dua tindakan itu benar dan tepat. Sekumpulan mengambil nas secara zahir, manakala kumpulan yang lain melihat kepada isi arahan.

PENUTUP

Imam As-Syafie juga pernah berpesan : Apabila kamu menemui hadis sahih, maka itulah mazhabku. Pesan ini disampaikan juga sebelum Imam Syafie oleh Imam Abu Hanifah rahimahumullah jami'an.

Imam Ahmad rahimahullah pula menegaskan : Jangan kamu taqlid aku, Malik, Syafie serta A-Auza'ie juga Al-Thauri. Ambillah hujjah dari mana sumber hujah mereka.

Saya tidak sekali-kali akan mengambil tempat dan pendirian pada perkara yang saya tidak yakin akan dalil dan kebenarannya. Itu intipati pesanan Allah dalam ayat 36, Surah Al-Isra' dan ayat 22, surah Al-Kahfi.

HASANHUSAINI, 
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]